Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Budaya menjaja makanan di simpang empat lampu isyarat di sekitar bandar Kota Bharu, di sini, bukan sahaja mengundang bahaya kepada penjaja, sebaliknya turut meresahkan pengguna jalan raya.

Tinjauan di lokasi mendapati, lebih enam simpang empat lampu isyarat di bandar ini menjadi tumpuan penjaja untuk menjual pelbagai makanan dan minuman.

Kehadiran penjaja itu dilihat semakin bertambah berbanding beberapa bulan lalu hanya dua lokasi yang menjadi tumpuan mereka.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan penjaja adalah simpang empat Telipot, Wakaf Che Yeh, Tendong, Pasir Hor dan Jalan Hamzah.

Malah, ada pengguna jalan raya mendakwa kehadiran penjaja berkenaan agak bahaya kerana ia mampu mengundang kemalangan jalan raya.

Pengguna jalan raya, Ismail Saad, 53, mengakui pendekatan diambil penjaja berkenaan demi menampung kehidupan seharian.

"Namun, pada masa sama ia agak membahayakan nyawa dan saya sendiri sebelum ini hampir terlanggar mereka yang secara tiba-tiba melintas di depan kenderaan.

"Ketika itu saya memandu agak laju kerana mahu mengejar lampu isyarat. Saya tidak nafikan usaha mereka mencari rezeki, namun kena mengambil berat faktor keselamatan.

"Saya perasan, sebelum ini aktiviti menjaja makanan ini hanya di satu lampu isyarat, namun kini ia semakin meluas dan pelbagai makanan serta minuman dijual," katanya.

PENJAJA kelihatan menjalankan penjualan makanan dan minuman kepada pengguna jalan raya yang melalui simpang empat lampu isyarat di sekitar bandar Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENJAJA kelihatan menjalankan penjualan makanan dan minuman kepada pengguna jalan raya yang melalui simpang empat lampu isyarat di sekitar bandar Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Hamid Othman, 55, turut mengakui perkara sama dan berharap pihak majikan masing-masing menitikberatkan aspek keselamatan pekerja.

"Bagi saya berniaga di lampu isyarat agak berbahaya dan pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil langkah sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai berhubung budaya menjual di simpang lampu isyarat.

"Saya mengingatkan penjaja supaya mengurangkan budaya menjaja di simpang lampu isyarat bagi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya.

"Pada masa sama, pihak polis akan menjalankan operasi di lokasi yang dikenal pasti bagi mengelak aktiviti menjaja di simpang itu semakin berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 1:49 PM