Ahmad Hasbi

Seremban: Bukan nak sekat rezeki mereka, namun tindakan penjual mangga asam boi menjaja di bahu jalan di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi di daerah ini, boleh mengundang bahaya.

Seramai sembilan penjaja dekat lampu isyarat di Jalan Rasah, di sini, panik seketika apabila pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan melakukan advokasi di lokasi berkenaan, hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya memberikan amaran terakhir kepada penjaja jalanan di lampu isyarat di negeri ini supaya mencari lokasi lebih sesuai selepas pihaknya menerima rungutan daripada pengguna jalan raya berhubung aktiviti berkenaan.

"Untuk hari ini, JPJ bersama polis dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memberikan nasihat dan amaran kepada penjaja berkenaan dan kami belum mengambil apa-apa tindakan undang-undang.

"Aktiviti jual beli di bahu jalan sedikit sebanyak mengganggu kelancaran trafik selain kehadiran mereka menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Malah ia boleh membahayakan nyawa mereka sendiri. JPJ bukan mahu menyekat rezeki mereka, tetapi berdasarkan jumlah bahan jualan mereka ini, kami berpandangan mereka sepatutnya boleh mencari lokasi lebih sesuai dan selamat," katanya ketika ditemui sejurus Advokasi Penjaja Jalanan di lokasi itu, hari ini.

HANIF Yusabra (tengah) mengedarkan risalah keselamatan kepada penjaja jalanan pada Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
HANIF Yusabra (tengah) mengedarkan risalah keselamatan kepada penjaja jalanan pada Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, pihaknya mengenalpasti 10 lokasi di Seremban yang menjadi tempat penjaja menjual produk mereka dan siasatan mendapati sebilangan besar daripada mereka bukan berasal dari negeri ini.

Menurutnya, menjaja di jalanan ini adalah satu kesalahan mengikut Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959, tiada sesiapapun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

"Manakala Kaedah 10A (2) kaedah sama menyatakan bahawa tiada sesiapapun yang berada di dalam atau atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan ataupun mana-mana jalan raya.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang selepas ini jika masih terdapat aktiviti menjaja berkenaan yang mana penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:50 PM