SHAFIEN (kiri) memakai pangkat dan penyerahan  surat ucap tahniah kepada anggota polis selepas merasmikan sambutan peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Dato' Dr Ab. Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (kiri) memakai pangkat dan penyerahan surat ucap tahniah kepada anggota polis selepas merasmikan sambutan peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Dato' Dr Ab. Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis sudah mengambil keterangan daripada individu yang mendakwa berlaku cubaan 'memotong barisan' oleh 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, keterangan itu diambil minggu lalu dan siasatan pihaknya hampir selesai.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pendakwaraya Negeri dan diangkat kepada Putrajaya untuk dapatkan arahan selanjutnya.

"Kita sama-sama tunggu apa arahan seterusnya," katanya kepada selepas merasmikan sambutan peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Kelantan di sini.

Baru-baru ini, tular di media sosial yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi 'laluan' kepada 200 ahli SUK Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, semua 1,712 pegawai dan anggotanya sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan hanya berbaki 20 peratus sahaja yang masih belum mendapatkan suntikan dos kedua.

Mengulas isu tindakan saman terhadap penjual makanan yang menjaja di persimpangan lampu isyarat, Shafien berkata, pihaknya menjalankan pendekatan nasihat sejak sebulan lalu bagi memberi peluang kepada penjaja mencari kaedah lain untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, tindakan saman yang dikenakan itu adalah berikutan terdapat banyak aduan yang dibuat oleh pengguna jalan raya yang melihat aktiviti menjaja makanan di persimpangan lampu isyarat itu boleh mendorong kepada kemalangan.

"Saya sudah mengarahkan bahagian trafik berjumpa dengan pemilik perniagaan dan memberi tempoh selama sebulan untuk mereka bersiap sedia beralih kepada kaedah jualan lain.

"Kita bukan menghalang mereka berniaga tapi jangan atas jalan raya kerana terdapat kesalahan dari segi Akta Pengangkutan Jalan malah kami juga memberi pertimbangan wajar bukan hanya terus memberi saman," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 12:53 PM