Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Seorang penjaja nekad meninggalkan motosikal roda tiga miliknya bersama makanan jualan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang menjalankan operasi penjaja haram di sekitar bandar ini.

Turut ditemui beberapa bekas berisi stok minuman dan nanas yang tersorok dalam semak, dipercayai untuk dijaja di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, operasi di Jalan Tengku Maasum dan persimpangan lampu isyarat Tunjong di sini, yang menjadi lokasi panas penjajaan haram, selain disertai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

"Hari ini, sebanyak tiga motosikal roda tiga disita dan empat saman dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menjaja di persimpangan lampu isyarat," katanya ketika ditemui media.

PENGUATKUASAAN Trafik IPD Kota Bharu bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyita tiga motosikal roda tiga dengan empat saman dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menjaja di persimpangan lampu isyarat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENGUATKUASAAN Trafik IPD Kota Bharu bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyita tiga motosikal roda tiga dengan empat saman dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menjaja di persimpangan lampu isyarat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Shuhaimi berkata, keseluruhan 33 kompaun dan tujuh motosikal roda tiga sudah dikeluarkan pihaknya sepanjang operasi bermula 13 Disember lalu.

Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 atas kesalahan menjual sesuatu kepada orang di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan.

"Di Kelantan, 'hot spot' kegiatan menjaja sebegini banyak di Kota Bharu antaranya Tunjong, Jalan Telipot, Pasir Hor, Taman Maju, Lundang dan Jalan Hamzah. Daerah lain tak begitu ketara kecuali ketika perayaan atau cuti umum," katanya yang memberitahu tindakan saman untuk memberi pengajaran dan mendidik penjaja mengenai risiko berniaga di lokasi yang salah.

Selain penjaja, katanya, tindakan juga boleh diambil kepada pembeli yang berada dalam kenderaan mengikut Peraturan 10A (2) kaedah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 5:57 PM