ENAM penjaja disaman dalam Operasi Khas Penjaja Jalanan sekitar bandaraya ini, semalam. FOTO ihsan Polis
ENAM penjaja disaman dalam Operasi Khas Penjaja Jalanan sekitar bandaraya ini, semalam. FOTO ihsan Polis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tidak serik menjaja di lampu isyarat, enam lelaki termasuk empat warga asing disaman dalam Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar bandar raya ini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada masyarakat mengenai kegiatan penjaja jalanan yang semakin berleluasa.

Menurutnya, hasil operasi mendapati makanan yang dijaja iaitu jeruk buah disimpan dan disorok berhampiran kawasan tepi jalan bagi mengelakkan tindakan diambil oleh pihak penguat kuasa.

"Hasil operasi ini, polis mengeluarkan sebanyak enam saman terhadap enam penjaja membabitkan dua warga asing dan empat warga tempatan.

"Aktiviti menjaja di jalan awam merupakan satu kesalahan yang jelas melanggar peraturan dan undang-undang.

"Ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan mengambil remeh tentang isu kebersihan makanan, risiko pencemaran dari jangkitan penyakit berjangkit.

"Mereka mengaut keuntungan dengan cara mudah, meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengambil kira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, saman terbabit dikeluarkan mengikut Kaedah-kaedah Lalulintas LN 166/59-010A (2).

Katanya, operasi seperti itu akan sentiasa diteruskan bagi memastikan tiada aktiviti penjaja buah ini daripada terus beroperasi bagi mengekalkan keselamatan pengguna jalan raya serta membendung kegusaran awam berkaitan perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 3:11 PM