Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan lima anggotanya positif Covid-19, manakala 35 anggota lagi diarahkan kuarantin di rumah dan hospital.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua anggota yang disahkan positif kebanyakannya terdedah jangkitan daripada orang kena tahan (OKT) selain ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Menurutnya, seramai 125 anggota termasuk pegawai polis terkesan dengan wabak berkenaan sepanjang pandemik itu, manakala yang terbaru masih ada beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang dikesan menerima OKT positif wabak berkenaan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh berkaitan kes itu.

"Bagaimanapun, trend jangkitan sudah menurun dan ia sesuatu yang baik dan saya harap ia tidak terus menular terutama dalam kalangan anggota.

"Pihak polis cuba mengatasi masalah ini sebaik mungkin agar dapat terus memberi khidmat terbaik terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anggota terus bersemangat menjalankan tanggungjawab sepanjang PKP termasuk mengadakan operasi sekatan jalan raya (SJR) yang turut mendapat kolaborasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.

"Kerjasama ini secara tidak langsung turut membantu 19 SJR yang sedia ada dijalankan di seluruh Kelantan khusus sepanjang tempoh PKP," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan SJR Kolaborasi PDRM & JPJ di hadapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Tunjong di sini, hari ini.

Shafien (kanan) ketika melakukan pemantauan SJR Kolaborasi PDRM & JPJ di Tunjong, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Shafien (kanan) ketika melakukan pemantauan SJR Kolaborasi PDRM & JPJ di Tunjong, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf.

Shafien berkata, bermula awal Januari tahun ini, kes kesalahan di jalan raya yang paling tinggi direkodkan ialah menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan melanggar lampu isyarat selain penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

"Pihak kami mensasarkan operasi bagi menangani kesemua kesalahan terbabit bagi mengurangkan kes kemalangan jalan rata termasuk yang membawa maut.

"Saya menyeru terutamanya kepada penunggang motosikal jangan hanya meletakkan topi keledar di dalam raga sebaliknya pakai demi keselamatan diri.

"Masyarakat perlu mengubah pemikiran sivik demi keselamatan bersama dan pihak polis juga terus memberi pendidikan serta menjalankan penguatkuasaan bagi menangani kesalahan berkenaan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menurutnya, pihak polis turut menghadapi masalah untuk mengesan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya memandangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) hanya dilakukan di lampu isyarat tertentu sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 5:21 PM