Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tindakan masyarakat membeli produk makanan penjaja di lampu isyarat, lebih kepada atas dasar simpati dan kasihan sehingga isu itu dilihat masih berleluasa, kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Beliau berkata, pihaknya yakin kebanyakan yang membeli produk makanan daripada penjaja terbabit adalah atas faktor simpati pengguna jalan raya dan bukan disebabkan benar-benar ingin menikmati produk yang dibeli.

"Saya perasan boleh dikatakan hampir setiap lampu isyarat (utama) sudah ada penjaja di sana, tetapi masalahnya kadang-kadang saya pun beli sebab kasihan kepada mereka.

"Kebanyakan orang beli sebenarnya bukan untuk makan sebaliknya sebab kasihan kerana peniaga itu berdiri di tengah panas dan sebagainya dengan harapan agar jualan penjaja itu cepat habis dan boleh pulang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (M3PN) bilangan 1 tahun 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian diminta mengulas mengenai 'kemunculan semula' penjaja di persimpangan lampu isyarat sejak kebelakangan ini seperti laporan sebilangan media tempatan biarpun hampir keseluruhan sektor ekonomi sudah boleh dibuka susulan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Media melaporkan, pihak berkuasa khususnya polis kini giat mengambil tindakan terhadap penjaja lampu isyarat termasuk melalui pengeluaran saman kerana dianggap mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Zainol Fadzi yang juga Pengerusi M3PN Perak berkata, pihaknya bagaimanapun menyerahkan perkara berkenaan kepada polis serta agensi penguatkuasaan berkaitan memandangkan ia membabitkan isu keselamatan di jalan raya.

"Saya rasa polis pun sedia maklum mengenai perkara ini, dalam pada kita juga ambil maklum mengenainya.

"Kita cuba juga cari alternatif bagaimana untuk membolehkan penjaja berkenaan ada tempat yang khas untuk berniaga jika benar mereka terpaksa berbuat demikian kerana terdesak mencari rezeki.

"(Biarpun) saya juga merasakan bahawa tindakan menjaja di persimpangan lampu isyarat berkenaan bukan dari kalangan penjaja atau peniaga kecil yang ada (bernaung) dalam ini (di bawah M3PN Perak)," katanya.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Zainol Fadzi berkata, pihaknya memberi jaminan untuk berusaha memastikan isu kekurangan tapak bagi peniaga bazar Ramadan di Perak tahun ini tidak kembali dibangkitkan.

Biarpun menjangkakan pertambahan drastik bilangan peniaga yang memohon tapak di bazar Ramadan susulan kelonggaran sekatan pergerakan masa kini, beliau berkata, seperti tahun lalu pihaknya akan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini memastikan semua penjaja yang memohon akan memperoleh tapak niaga.

"Saya rasa amalan konsep serupa juga akan kita bawa untuk tahun ini. Tahun lalu kita dapat selesaikan isu ini dengan membuka tapak bazar di lokasi baharu agar semua dapat berniaga.

"Bilangan peniaga bazar Ramadan tahun ini saya yakin sudah tentu bertambah, lebih-lebih lagi ramai yang sudah mula berniaga sekarang berbekalkan modal diperoleh daripada agensi tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:48 PM