SUSPEK mencuri mesin wang tunai di sebuah pasar raya mini di Kampung Wonod, Telupid. FOTO Ihsan pembaca
SUSPEK mencuri mesin wang tunai di sebuah pasar raya mini di Kampung Wonod, Telupid. FOTO Ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman

Telupid: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai mencuri mesin wang tunai di pasar raya mini di Kampung Wonod dekat Batu Empat, di sini semalam.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, suspek dikatakan mengambil masa 12 saat untuk melarikan mesin berkenaan berserta wang tunai di dalamnya dengan kerugian keseluruhan dianggar RM1,600.

Video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat dua pekerja di pasar raya mini itu.

Katanya, suspek hadir bersendirian dengan memandu Proton Saga berwarna kelabu dan meletakkan kereta itu di hadapan premis.

"Ketika ketiadaan penjaga di kaunter, suspek kemudiannya masuk ke dalam kedai dan terus mengangkat mesin serta melarikan diri.

"Kejadian berlaku dengan pantas dan suspek melarikan diri dengan kereta sama yang diletakkan di luar.

"Kita percaya suspek sudah membuat persediaan awal (memantau keadaan) sebelum melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:31 PM