Dua lelaki dikenali sebagai Herman dan Yusuf diburu polis kerana terbabit kes gaduh hingga mati di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Dua lelaki dikenali sebagai Herman dan Yusuf diburu polis kerana terbabit kes gaduh hingga mati di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian di sebuah pusat hiburan di Bandaran Berjaya, di sini, pada 16 Jun lalu, diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua suspek terbabit dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Katanya, kedua-dua suspek warga asing yang dikenali sebagai Herman dan Yusof itu diburu bagi membantu siasatan.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan berkenaan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Idrus Arshard di talian 019-8233112," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, orang ramai juga boleh terus tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

Katanya, berdasarkan siasatan polis, dua mangsa bekerja sebagai anak kapal disyaki dipukul dan ditikam menggunakan objek tajam.

"Setakat ini, polis percaya motif kejadian adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 12:51 PM