DUA beranak yang sedang dburu. FOTO Ihsan Polis
DUA beranak yang sedang dburu. FOTO Ihsan Polis
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Beluran: Polis memburu dua beranak yang dipercayai terbabit dalam kejadian tetak empat sekeluarga di sebuah ladang di Kampung Cahaya Baru, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berusia 23 dan 51 tahun, masing-masing.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, empat mangsa berusia antara 18 hingga 47 tahun parah selepas ditetak dalam satu pergaduhan di ladang berkenaan.

"Sebelum kejadian berkenaan, isteri mangsa menegur kakak perempuan suspek untuk menuntut bayaran hutang lalu berlaku pertengkaran.

"Suspek lelaki berusia 23 tahun marah lalu bertindak menyerang isteri mangsa dengan sebilah parang.

"Mangsa cuba menghalang suspek, namun ditetak di bahagian tangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasim berkata, pergaduhan berjaya dileraikan penyelia ladang, yang kemudian membawa mangsa ke pejabat untuk mengelakkan keadaan tidak terkawal.

"Suspek pada mulanya pulang ke rumahnya, tetapi kembali bersama bapanya lalu bertindak menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah.

"Sejurus kejadian, kedua-dua suspek melarikan diri, dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Katanya, empat orang mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Justeru, pihak kami memohon kepada mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 9:59 PM