Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang maut manakala rakannya kritikal dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di pusat hiburan di Jalan Bandaran Berjaya, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala rakannya yang juga berusia lingkungan 20 tahun kritikal dan menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pekerja pusat hiburan kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, sepasukan polis bergegas dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa bergaduh dengan suspek akibat perselisihan faham.

"Kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke hospital sebelum salah seorang disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi parah," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Dataran Deasoka, di sini, hari ini.

Kasim berkata, pergaduhan itu dipercayai bermula di dalam premis pusat hiburan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, polis mengesan suspek namun belum mengenal pasti identiti mereka.

"Usaha kini dijalankan untuk mengesan seterusnya menangkap suspek yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa adalah awak-awak bot nelayan warga Indonesia yang mempunyai dokumen.

"Pemeriksaan juga mendapati pusat hiburan itu sudah beroperasi selama enam bulan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:38 PM
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bunuh di pusat hiburan di Jalan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bunuh di pusat hiburan di Jalan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN