NUR Baiti bersama plak songket yang menjadi tarikan di kedainya. FOTO  Natrah Laili Abdul Aziz
NUR Baiti bersama plak songket yang menjadi tarikan di kedainya. FOTO Natrah Laili Abdul Aziz
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Peniaga kecil di Pasar Seni, di sini, kini boleh menarik nafas lega apabila premis mereka mula dikunjungi ramai pelancong.

Tinjauan Harian Metro mendapati pelancong dari pelbagai negara dilihat mengunjungi kedai yang menjual barangan seperti kraftangan, batik, dan cenderamata.

Pembantu sebuah kedai cenderamata, Nur Baiti Rejab, 52, berkata, jualan di kedainya semakin meningkat sejak dua minggu lalu susulan kehadiran pelancong yang memborong cenderamata.

Menurutnya, walaupun pendapatan tidak seperti dahulu namun dia tetap bersyukur kerana memperoleh jualan kira-kira RM1,000 sehari.

"Apabila sempadan negara dibuka, saya amat gembira dapat menerima kunjungan dari pelancong luar negara seperti Arab, Jepun, Korea serta Amerika Syarikat.

"Kebanyakan pelancong suka membeli pelbagai barangan cenderamata di kedai ini seperti rantai kunci, lilin resin selain pelanggan tempatan yang membeli plak songket untuk dijadikan hadiah korporat," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Nur Baiti berkata, ketika mengharungi cabaran semasa pandemik, dia dan pemilik kedainya memberi diskaun sebanyak 50 peratus bagi menarik pelanggan untuk membeli cenderamata.

Selain itu, Pengusaha Art Bites, Kasim Akbas, 33 berkata, jualan kedai cenderamata turut meningkat sejak sempadan negara dibuka

Kasim yang sudah bertapak selama enam tahun di sini berkata, pandemik Covid-19 mengakibatkan kedainya rugi hampir 50 peratus daripada jualan tahun sebelumnya.

"Dahulu, jualan harian kedai saya boleh mencecah kira-kira RM1,500 sehari, namun semasa pandemik jualan menurun.

"Selepas sempadan dibuka, ramai pelancong mengunjungi kedai saya dan membeli barangan kecil secara pukal seperti lampu siling Turki, meja, cawan dan piring seramik serta sejadah buatan tangan yang menjadi pilihan pelancong tempatan," katanya.

Kasim berkata, walaupun mengalami kerugian, namun dia masih boleh bertahan kerana kebanyakan pengunjung tempatan masih membeli cawan dan barangan seramik untuk dijual semula secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 8:42 PM