Pegawai PHDHS memeriksa 50 pendaki yang ditahan di hutan simpan kekal (HSK) Semangko, semalam. FOTO IHSAN JPNS
Pegawai PHDHS memeriksa 50 pendaki yang ditahan di hutan simpan kekal (HSK) Semangko, semalam. FOTO IHSAN JPNS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Walaupun sudah diberi peringatan berulang kali oleh pihak berkuasa supaya mendapatkan permit sah untuk memasuki hutan simpan kekal (HSK), 50 individu sebaliknya bertindak nekad memasuki lokasi berkenaan.

Terbaru, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengesan aktiviti pendakian secara haram membabitkan pendaki berusia 21 hingga 50 tahun di HSK Semangko, dekat sini, semalam.

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, aktiviti berskala besar itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan yang dilakukan bermula 8 pagi dan berakhir 6 petang.

Beliau berkata, operasi disertai sepasukan 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis.

"Operasi dilakukan di laluan pendakian Gunung Gap HSK ekoran hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan JPNS.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata, semua pendaki dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

"Semua pendaki diingatkan mematuhi undang-undang perhutanan dengan memohon permit sah untuk memasuki HSK di negeri ini," katanya.

Pada 7 November lalu, media melaporkan 16 pendaki ditahan pihak berkuasa kerana memasuki hutan simpan tanpa permit sah di HSK Bukit Kutu.

Sebelum itu juga, 56 individu yang mendaki Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran turut ditahan pada 25 September lalu atas kesalahan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 3:15 PM