SERAMAI 16 pendaki yang ditahan kerana memasuki HSK Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu tanpa permit sah, semalam.  FOTO ihsan PEJABAT HUTAN DAERAH HULU SELANGOR
SERAMAI 16 pendaki yang ditahan kerana memasuki HSK Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu tanpa permit sah, semalam. FOTO ihsan PEJABAT HUTAN DAERAH HULU SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Tidak tahu perlu ada permit dan hanya mengikut rakan adalah alasan yang diberikan 16 pendaki yang ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, operasi lima jam bermula 9 pagi itu dilakukan 14 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) bersama polis.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya menahan 16 individu berusia 32 hingga 59 tahun yang dipercayai mendaki di kawasan berkenaan tanpa mempunyai permit sah untuk memasuki hutan terbabit.

"Kesemua yang ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata, sebelum ini pihaknya menahan 56 individu yang mendaki di Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah pada 25 September lalu kerana kesalahan sama.

Operasi dijalankan berikutan aduan penduduk yang mendakwa ramai pendaki memasuki hutan itu melalui kawasan kediaman mereka selain meletakkan kenderaan di tepi jalan rumah hingga merosakkan paip air, tong sampah dan meninggalkan sampah merata-rata.

"Pendaki sepatutnya sudah peka dengan keperluan itu selepas beberapa siri operasi permohonan permit masuk hutan simpan sebelum ini.

"Oleh yang demikian, kita nasihatkan semua pendaki supaya memasuki kawasan hutan yang dibenarkan dengan memohon permit selain menitik beratkan keselamatan dan menjaga kebersihan," katanya.

Beliau berkata, kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 12:43 PM