TAMAN Eko Rimba (TER) Hutan Lipur Gunung Pulai 1. FOTO Arkib NSTP
TAMAN Eko Rimba (TER) Hutan Lipur Gunung Pulai 1. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 15 lokasi membabitkan Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini, dibuka semula kepada orang awam yang telah lengkap vaksinasi untuk melakukan aktiviti rekreasi serta pendakian.

Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) menerusi hantaran dalam laman Facebooknya memaklumkan, bagaimanapun kemasukan orang ramai hanya 50 peratus kapasiti dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut JPNJ, daripada 15 lokasi, empat TER iaitu Gunung Pulai 1, Gunung Arong, Soga Perdana dan Taka Melor mula dibuka semalam manakala HTN Gunung Arong dibuka Isnin ini.

Kenyataan itu memberitahu, antara 10 kawasan pendakian HSK ialah Gunung Sumalayang, Muntahak, Panti, Pelepah Kiri dan Lambak yang turut dibuka pada Isnin.

"Individu lengkap vaksinasi dibenarkan membawa anak mereka yang berusia 18 tahun ke bawah bagi sebarang aktiviti dengan pematuhan SOP ketat dan perlu sentiasa memakai pelitup muka serta menjaga kebersihan.

"Bagaimanapun, individu yang bergejala serta suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk," menurut JPNJ.

JPNJ menjelaskan, orang awam yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di HSK perlu mendapatkan permit di Pejabat Hutan Daerah terdekat terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan berkenaan.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, orang awam juga perlu menggunakan Malim Gunung Perhutanan yang diiktiraf selain menyertakan salinan kad pengenalan dan vaksin lengkap dalam aplikasi MySejahtera serta mengimbas kod QR ketika masuk ke kawasan dituju.

JPNJ menyatakan orang awam boleh didakwa di bawah kesalahan memasuki HSK tanpa permit mengikut Seksyen 47(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 4:23 PM