FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Australia dipercayai menjadi sasaran sindiket pengedaran dadah termasuk dari Malaysia berikutan undang-undang negara berkenaan yang tidak memperuntukkan hukuman berat.

Hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap pesalah adalah lebih longgar berbanding undang-undang di Malaysia yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Australia dikatakan sentiasa bersedia dalam mematahkan cubaan membawa masuk dadah ke negara mereka melalui perkongsian maklumat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa negara lain.

Perkara itu diakui Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Razarudin Husain yang memaklumkan PDRM menjalin kerjasama rapat dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) bagi memerangi aktiviti penyeludupan dadah.

"Kerjasama kedua-dua pihak sudah lama terjalin dan masih diteruskan sehingga kini. Malah pihak berkuasa Australia juga mempunyai wakil di Malaysia.

"Kita (PDRM) akan berkongsi sebarang maklumat berkaitan jenayah termasuk mengenai sindiket pengedaran dadah dan kita bersama-sama mematahkan aktiviti jenayah terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia oleh AFP selepas disyaki mengimport dadah jenis heroin menggunakan kontena kapal dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

Razarudin berkata, penahanan itu bukan kali pertama sebaliknya beberapa penahanan sudah dibuat pihak berkuasa berkenaan sebelum ini termasuk maklumat dari PDRM.

"Apabila ada maklumat kita akan salurkan kepada Australia untuk buat tangkapan, begitu juga sebaliknya.

"Selain Australia, PDRM turut menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain seperti Korea, Singapura dan China," katanya.

Mengenai kes penahanan terbaharu itu, Razarudin berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Australia.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu termasuk mengenai identiti suspek, dalang sindiket dan bekalan dadah diperoleh.

Terdahulu, media melaporkan polis Australia merampas penghantaran heroin terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta).

Pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki warga Malaysia berhubung kesalahan mengimport dadah berkenaan, yang dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

Polis Australia dalam kenyataan memaklumkan dadah seberat 450 kilogram (kg) atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diiktiraf mengandungi jubin seramik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 4:11 PM