Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Taktik licik sindiket dadah antarabangsa yang menyembunyikan 398.2 kilogram (kg) syabu berjumlah RM14.33 juta dalam kontena berisi ratusan guni kopi, terbongkar selepas pemeriksaan rapi pihak berkuasa negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari Guatemala di PTP Iskandar Puteri, jam 12 tengah hari itu, membawa kepada penemuan 14 guni berisi syabu, yang diselitkan dalam kontena berisi 100 guni biji kopi.

Kata beliau, penemuan syabu dalam kontena itu hasil perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) yang memaklumkan kontena itu disyaki membawa muatan dadah.

"Kita percaya sindiket ini menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup ke negara ketiga dengan mengisytiharkannya sebagai barangan sah dieksport.

"Bagi kes ini, syabu itu ditemui dalam kontena yang membawa muatan 100 guni biji kopi dari Guetamala dengan Filipina sebagai destinasi akhirnya. Bagi mengelakkan ia dikesan, bungkusan syabu itu disembunyikan dalam guni bersama serbuk pencuci.

"Dengan menggunakan alat imbasan 'backscatter', hasil imbasan kontena yang dibuat, terdapat perbezaan dalam imejan barangan yang diisytihar dan kita syak ia adalah dadah.

"Apabila kontena itu dibuka, kita dapati kontena yang diisytiharkan itu membawa muatan biji kopi namun dicelahan guni, terdapat 14 guni syabu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

RAZARUDIN (tengah) melihat rampasan dadah bernilai RM 14.33 juta ketika selepas sidang media di Dewan Dato Onn, IIbu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor. FOTONur Aisyah Mazalan
RAZARUDIN (tengah) melihat rampasan dadah bernilai RM 14.33 juta ketika selepas sidang media di Dewan Dato Onn, IIbu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor. FOTONur Aisyah Mazalan

Sementara itu, Razarudin berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat susulan rampasan syabu terbabit.

Kata beliau, hasil maklumat awal mendapati, sindiket dadah antarabangsa terbabit menjadikan negara ini hanya sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke negara sasaran.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama polis antarabangsa sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket ini.

"Guatemala bukan negara pengeluar dadah, namun negara itu terletak di selatan Mexico, negara pengeluar kokain dan syabu terkenal.

"Kontena itu dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal melalui Panama, Shanghai, China; PTP dan destinasi akhirnya adalah Manila, Filipina," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, kes ini tiada kaitan dengan kes penyeludupan dadah di Australia yang dilaporkan Sabtu lalu.

Kata beliau, syabu dirampas boleh digunakan kira-kira 1.99 juta penagih.

"Selain itu, satu mesyuarat akan diadakan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan hab pengedaran dadah ke negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:27 PM