Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menolak dakwaan menyatakan rakyat Malaysia yang dilaporkan menyeludup dadah ke Australia sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, ia berikutan suspek berusia 38 tahun itu sudah memasuki Australia sejak tahun lalu lagi.

"Untuk maklumat lelaki yang ditahan di Australia itu memasuki negara itu pada Januari 2020.

"Oleh itu, kita boleh menolak bahawa dia keldai dadah kerana masuk Australia sejak tahun lalu.

"Kalau keldai dadah, modus operandinya akan bawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggunakan kapal terbang, turun di lapangan terbang sebelum ditahan, namun lelaki itu sudah berada setahun di Australia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP

Sebelum ini media melaporkan pihak berkuasa Australia menahan warga Malaysia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara itu.

Dadah itu ditemui dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

Lelaki yang tidak dinamakan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat lalu.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, JSJN Bukit Aman sudah berhubung dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) berhubung penahanan rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah di negara itu.

"Kita cuba mendapatkan maklumat yang bernilai (bagi menumpaskan sindiket dadah)," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia di Autsralia itu masih dalam siasatan.

Katanya, maklumat diberi AFP dapat bantu siasatan lebih menyeluruh.

"Siasatan mungkin akan ambil masa antara seminggu hingga sebulan kerana kita perlu melakukan risikan bernilai dan berkualiti.

"Ini sindiket yang besar dan memerlukan siasatan yang rapi dan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 12:20 PM