Razarudin (kanan) bercakap pada sidang media mengenai penahanan tujuh suspek yang terlibat sindiket edar dan seludup dadah bernilai RM4.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. FOTO BERNAMA
Razarudin (kanan) bercakap pada sidang media mengenai penahanan tujuh suspek yang terlibat sindiket edar dan seludup dadah bernilai RM4.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tidak menolak kemungkinan terdapat pihak lain terbabit dalam kes penahanan rakyat Malaysia yang dilaporkan menyeludup dadah ke Australia, pada 16 Oktober lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sehingga kini, kes masih dalam siasatan dan butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

"Kita masih siasat. Memang ada pembabitan di sini (tetapi) kita tidak boleh reveal (dedah) awal. Kalau kes (seperti) ini makan masa kira-kira empat bulan. Kita jangka (ambil masa) satu hingga empat bulan. Macam-macam modus operandi (digunakan dalam kes ini), dia (kes ini) kompleks.

"Ini bukan kes tangkap ayam, hari ini kita dapat maklumat hari ini kita tangkap. Kita pun boleh buat begitu tetapi kita tidak akan dapat (tangkap) keseluruhan sindiket terbabit.

"Kes ini masih dalam siasatan, kalau ada tangkapan (terbaharu) kita akan maklumkan, ini maklumat (diperoleh) daripada pihak Australia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan.

Pegawai Kanan Polis, Krissy Barret berkata, itu juga adalah rampasan dadah terbesar di negara terbabit yang disyaki dibawa masuk dari negara berkenaan.

Kesemua bekalan dadah itu disembunyikan dalam kontena yang diisytiharkan membawa bungkusan berisi jubin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 2:27 PM