Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis mematahkan taktik licik sindiket dadah antarabangsa yang menyembunyikan 20.41 kilogram heroin bernilai RM1.9 juta dalam kotak polisterin berisi ikan kerapu untuk dieksport ke Hong Kong, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, ia susulan empat serbuan yang dijalankan di Kajang, Selangor selain Gelang Patah dan Pekan Nenas di sini, yang dilakukan Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

Katanya, dalam serbuan itu 12 suspek membabitkan 11 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 53 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan heroin bagi pasaran Hong Kong itu berjaya ditahan.

RAZARUDIN (tiga kanan) bersama Ayob Khan (kiri) menunjukkan barang rampasan berkaitan tangkapan suspek penyeludupan dadah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
RAZARUDIN (tiga kanan) bersama Ayob Khan (kiri) menunjukkan barang rampasan berkaitan tangkapan suspek penyeludupan dadah. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Modus operandi (MO) sindiket dadah antarabangsa ini adalah dengan menyembunyikan bungkusan dadah yang nipis seberat antara 270 hingga 275 gram di antara bungkusan ikan dan ais kering di dalam kotak polisterin berisi ikan kerapu segar untuk dihantar ke Hong Kong.

"Sindiket dadah ini dipercayai membawa masuk bekalan dadah ini dari sebuah negara jiran di utara tanah air sebelum diseludup masuk ke dalam negara. Ia kemudian dibungkus di sebuah rumah di Pekan Nenas, Pontian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Razarudin berkata, kotak polisterin berisi ikan kerapu berkenaan sebelum ia dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi diseludup ke Hong Kong.

"Menerusi siasatan awal mendapati sindiket dadah antarabangsa yang mempunyai rangkaian dengan sindiket di Hong Kong itu sudah lapan kali berjaya menyeludup dadah menerusi MO ini.

"Malah ia berjaya melepasi pemeriksaan ketat di KLIA berikutan bungkusan dadah nipis itu tidak dapat dikenal pasti apabila diimbas menerusi alat pengimbas di lapangan terbang berkenaan," katanya.

Razarudin berkata, kejayaan mematahkan penyeludupan sindiket berkenaan itu juga adalah hasil perkongsian maklumat dari pihak berkuasa Hong Kong.

Katanya, pihak berkuasa Hong Kong yang berjaya memintas kemasukan penyeludupan heroin dari sindiket sama pada 26 Oktober lalu sebelum memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Hasil risikan dan siasatan mendapati polis percaya nilai heroin yang telah berjaya diseludup ke Hong Kong sebelum ini tidak kurang daripada RM3 juta.

"Menerusi siasatan lanjut turut mendapati sindiket di Australia juga berminat untuk mendapat bekalan heroin dari sindiket dadah ini, namun kita berjaya halang dengan penahanan 12 suspek sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah antarabangsa itu dipercayai mula aktif menyeludup heroin ke Hong Kong antara hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati dua anggota sindiket itu adalah ahli aktif sebuah kongsi gelap di Johor.

"Tujuh suspek termasuk dua ahli kongsi gelap itu turut mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek didapati positif dadah.

"Kesemua 12 suspek sudah direman tujuh hari, sejak Ahad lalu sehingga Sabtu ini, namun kita jangka akan mohon sambungan reman bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Razarudin berkata, polis juga mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, dengan pelbagai aset milik sindiket membabitkan akaun bank, kenderaan mewah, wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM710,851 disita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:08 PM