KEADAAN banjir yang melanda beberapa kawasan di Johor Bahru pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN banjir yang melanda beberapa kawasan di Johor Bahru pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Hujan lebat hampir sejam mengakibatkan lebih 10 kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda banjir pada 6 pagi tadi.

Kawasan terjejas ialah Kampung Melayu Majidee; Kempas Lurah; Taman Skudai Baru; Taman Johor Jaya; Kampung Ibu; Kolam Air; Kempas Denai; Kempas Permatang; Kampung Pasir; Damansara Aliff; Mutiara Rini; Kampung Ulu Pandan Kangkar Tebrau; Jalan Tampoi menghala kawasan perindustrian Tampoi; hadapan ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara; berhampiran jambatan kereta api Taman Impian Emas.

Akibat kejadian berkenaan terdapat kenderaan yang terkandas selain berlaku kesesakan lalu-lintas.

Penduduk Kampung Melayu Pandan, Izyanee Mohd Nasir, 42, berkata, hujan lebat bermula jam 5.40.

Menurutnya, ketika itu empat ahli keluarganya berada di rumah termasuk kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan.

"Pada kali ini air naik sehingga kira-kira satu meter dan mengakibatkan pelbagai barangan di rumah mengalami kerosakan.

"Selain hujan lebat, kejadian mungkin berpunca daripada sistem saliran kerana ia berlaku sejak laluan bersebelahan dibesarkan.

"Akibat kejadian ini, kami sekeluarga mengalami kerugian kira-kira RM1,500," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor mengesahkan kejadian banjir kilat melanda beberapa kawasan di Johor Bahru.

Menurutnya, setakat ini tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 10:44 AM