LEBUHRAYA Pasir Gudang yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat ekoran hujan lebat berlarutan selama dua jam. FOTO ihsan TULAR
LEBUHRAYA Pasir Gudang yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat ekoran hujan lebat berlarutan selama dua jam. FOTO ihsan TULAR
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Hujan lebat berterusan selama dua jam sejak 1 tengah hari ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk Lebuhraya Pasir Gudang di sini, dinaiki air.

Selain Lebuhraya Pasir Gudang iaitu susur keluar dan masuk ke Bandar Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi turut dinaiki air akibat banjir kilat.

Hasi perkongsian gambar dan beberapa video di Facebook (FB) turut memaparkan beberapa buah kenderaan di susur Seri Alam dilihat menghentikan kereta masing-masing di bahu jalan.

Kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan beberapa kenderaan terperangkap akibat air yang naik secara mendadak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima laporan pada 1.53 tengah hari berhubung kejadian banjir kilat di Jejantas Bandar Seri Alam, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Pasir Gudang.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru memaklumkan menerima laporan empat rumah di Kampung Ubi di Jalan Tampoi di sini, dinaiki air.

Katanya, kejadian berpunca daripada hujan lebat lebih satu jam dan saluran perparitan yang tersumbat.

"Pada 2.35 petang tadi, PKOD menerima maklumat kes dari anggota APM menyatakan empat rumah terjejas dengan anggaran paras air 0.5 meter.

"Cuaca di lokasi masih hujan renyai. Keadaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 4:24 PM