MOHD Noorazam. FOTO MBJB
MOHD Noorazam. FOTO MBJB
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sejumlah RM15 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menyebabkan berlaku banjir di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata peruntukan itu adalah untuk melaksanakan kerja penambahbaikan sistem saliran dan struktur selain penyelenggaraan di sungai bandar raya ini.

Katanya, peruntukan itu digunakan bagi melantik kontraktor untuk melaksanakan semua kerja berkenaan bagi mengurangkan impak banjir yang dijangka melanda bandar raya ini.

"Pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi persediaan musim Monsun Timur Laut di bandar raya ini ketika ini termasuk dari segi tenaga kerja, peralatan dan jentera serta logistik yang diperlukan.

"MBJB sudah melantik 10 syarikat bagi kerja pembaikan saliran utama dan struktur di seluruh kawasan MBJB mengikut pecahan zon bagi tempoh 12 bulan mulai Oktober lalu membabitkan peruntukan RM4 juta.

"Selain itu, empat syarikat juga dilantik bagi kerja penggalian mendapan dasar sungai yang kini sedang giat dilaksanakan di Sungai Pandan, Sungai Sengkuang, Sungai Tampoi dan Sungai Bala dengan kos RM 1.25 juta.

"Ini tidak termasuk kos sembilan lagi projek penggalian mendapan, pembersihan, menaik taraf perangkap sampah dan pembaikan lain yang masih dalam peringkat penilaian tender," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Noorazam berkata, MBJB juga melantik 23 kontraktor bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan pembersihan tahunan membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Katanya, pihaknya turut memperuntukkan RM7.2 juta bagi projek tebatan banjir dengan melakukan pemasangan pam di tiga lokasi strategik dan pembinaan dua kolam air takungan di kawasan terpilih.

"Terdapat juga kerja-kerja penggalian yang dilaksanakan sendiri oleh pihak MBJB menggunakan jentera seperti di Sungai Ayer Molek dan Sungai Chat, di sini.

"MBJB juga sudah melaksanakan dan akan terus melakukan kerja penyelenggaraan sungai secara berkala di semua saliran utama melalui kontraktor penyelenggaraan tahunan sebagai langkah tebatan banjir," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noorazam berkata, MBJB akan terus memantau lokasi 'hotspot' banjir dalam kawasan bandar raya ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko banjir.

Antaranya di lembangan Sungai Skudai membabitkan Taman Tampoi Indah, Jalan Roda Utama-Jalan Skudai, Masjid Skudai Kiri, Batu 4 setengah, Jalan Skudai, Taman Johor, Kampung Pasir, Kampung Sri Jaya dan Kampung Sri Serdang.

"Antara kawasan yang turut diberi tumpuan ialah di Lembangan Selat Johor di Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Stulang Darat.

"Satu lagi hotspot banjir ialah di Lembangan Sungai Tebrau/Plentong antaranya Kempas Permatang, Kempas Lurah, Taman Istimewa, Taman Suria, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Plentong Baru dan Kampung Baru Pandan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 3:17 PM