ANGGOTA APM membantu memotong pokok yang menghempap sebuah rumah. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM membantu memotong pokok yang menghempap sebuah rumah. FOTO ihsan APM
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilaporkan terbabit dalam insiden pokok tumbang sehingga ada yang menghempap kediaman dan harta benda, petang tadi.

Kejadian pokok tumbang itu dipercayai akibat hujan lebat berserta ribut yang berlaku sejak jam 1.30 tengah hari tadi.

Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Johor Bahru memaklumkan, pada jam 2 petang, pihaknya menerima sebanyak 16 laporan pokok tumbang majoritinya di Mukim Plentong di sini.

Katanya, antara kawasan yang dilaporkan terdapat pokok tumbang ialah Jalan Surau dan Jalan Bilal di Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting di Masai.

"Turut melaporkan terdapat pokok tumbang ialah Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya, selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang," katanya.

Terdahulu, beberapa gambar dan video keadaan ribut yang berlaku di sekitar daerah ini dikongsikan pengguna media sosial.

Terdapat banyak kawasan yang menunjukkan terdapat pokok tumbang, selain ada bangunan yang rosak akibat bumbung ditiup angin selain kenderaan terhempap.

Sementara itu, guru, Nur Izzati Hassan, 34, berkata, dia sedang memandu di Taman Bukit Rinting, Masai, ketika hujan lebat dan ribut berlaku.

"Keadaan masa itu memang agak menakutkan, hujan lebat dan ribut kuat. Saya tak nampak jalan, hanya nampak putih saja, ranting-ranting dan dahan-dahan pokok memang berterbangan langgar-langgar cermin kereta.

"Syukur, saya selamat dan kereta tidak rosak," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia ketika itu sangat bimbang kerana tahu kawasan dilalui terdapat banyak pokok besar.

"Selepas hujan, saya nampak banyak pokok besar tumbang, manakala pokok yang kecil dan rendah tercabut diterbangkan angin.

"Saya dapat maklumat bengkel pertanian di sekolah saya mengajar dekat Taman Megah Ria juga rosak dihempap pokok tumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 6:01 PM