FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan disarankan melakukan pemberian vaksin di kawasan desa dengan mengenal pasti golongan yang belum divaksin bagi mempercepatkan sasaran 80 peratus imuniti berkelompok.

Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, golongan ini juga boleh dikenal pasti dengan bantuan dan maklumat ketua komuniti.

Katanya, pemberian vaksin secara terus dari rumah ke rumah di kawasan desa perlu diberikan kerana ada di antara penduduk yang sudah berusia dan mempunyai kekangan untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kebanyakan warga emas yang berada di kampung tinggal berdua atau bersendirian. Jadi ada di antara mereka yang mempunyai kenderaan tetapi tidak mampu mengendalikannya kerana masalah kesihatan.

"Justeru itu, pendekatan pasukan perubatan memberi vaksin dari rumah ke rumah (terhadap) golongan ini perlu digerakkan. Populasi dewasa sudah divaksin ialah 50 peratus dan kita boleh mencapai sasaran 80 peratus dengan cepat sekiranya langkah itu dilaksanakan.

"Kerajaan juga boleh mengkaji kerana ada sebahagian penerima vaksin yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk ke PPV ditetapkan. Ada di antara mereka yang tiada kenderaan dan terpaksa berdiam diri daripada terus menerima vaksin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Micheal Tay yang juga Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan berkata, ketika ini banyak sektor sudah dibuka secara berperingkat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Katanya, bagi menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi di negeri ini, kerajaan negeri perlu berbincang dengan negara jiran, Singapura supaya mengiktiraf sijil vaksin kedua negara.

"Pengiktirafan ini perlu dilakukan segera, jika hendak tunggu negara mencapai imuniti berkelompok 80 peratus, mungkin ia mengambil masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:07 PM