Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
Zaid Salim


Kuala Nerus: Tahap kesedaran yang semakin meningkat di kalangan penduduk negeri ini terhadap pentingnya pengambilan vaksin menyebabkan kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak berkata, pihaknya menjangkakan proses pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini akan selesai pada November depan.

Katanya, setakat ini, seramai 103.297 atau 12.77 peratus rakyat negeri itu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Kita telah mendahului sasaran peringkat nasional iaitu 10 peratus menjelang akhir bulan ini.

"Sehubungan itu, kesemua baki 841,800 penduduk Terengganu yang berkelayakan akan melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dalam tempoh empat bulan dari sekarang," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Bukit Tunggal berkata, berdasarkan jadual penerimaan bekalan vaksin, pihaknya berkemampuan menyuntik seramai 205,809 orang setiap bulan.

Menurutnya, tahap kesedaran dalam kalangan warga emas terhadap suntikan vaksin Covid-19 juga semakin meningkat dengan lebih 70 peratus hadir pada janji temui di semua pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan.

"Pencapaian ini hasil usaha keras kerajaan negeri melakukan pelbagai kempen dan kaedah pemberian vaksin termasuk melakukan suntikan di kawasan masjid.

"Kerajaan negeri juga menjalin kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyediakan perkhidmatan PPV bergerak menggunakan dua lori khas yang diubahsuai," katanya.

Alias berkata, bagi menyelesaikan masalah warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV, kerajaan negeri mengambil inisiatif di peringkat Dun dengan menyediakan pengangkutan kepada warga emas terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:58 PM