Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan akan mendapatkan bantuan pesara doktor dan jururawat, serta doktor pelatih dan penuntut perubatan bagi menambah petugas separa profesional dan membantu operasi di pusat pemberian vaksin (PPV) skala besar yang akan dibuka.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin atau imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Katanya, antara langkah yang sedang dijalankan bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin termasuk melalui pembukaan lebih banyak PPV berskala besar di setiap daerah dan negeri.

"Itulah sebab utama saya ke beberapa negeri termasuk Johor hari ini, untuk memastikan pembukaan lebih banyak PPV berskala besar selain bekerjasama bersama sektor swasta sekali gus dapat mempertingkatkan pemberian vaksin dalam masa terdekat.

"Julai ini kita perlu memberi vaksin lebih 200,000 penerima sehari, dan mensasarkan 300,000 penerima sehari Ogos ini.

"Untuk mencapai sasaran itu, kita sedang memanggil lebih banyak tenaga kerja membabitkan profesional perubatan termasuk pesara doktor dan jururawat, doktor pelatih dan penuntut perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, hari ini.

Beliau mengulas laporan berita mengenai Malaysia dilaporkan perlu memvaksin antara 300,000 hingga 500,000 penerima sehari untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau tidak mahu menggunakan terma imuniti kelompok sebaliknya mahu menggunakan terma 'liputan menyeluruh'.

Katanya, ia berikutan penemuan varian baharu yang memungkinkan terma imuniti kelompok tidak lagi sesuai digunakan.

KKHARY pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KKHARY pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Namun Khairy berkata, kerajaan yakin mampu mencapai sasaran memberi vaksin kepada 80 peratus rakyat negara atau mendapatkan liputan menyeluruh ini menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ia selagi bekalan vaksin dibekalkan pengeluar secara berterusan.

"Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini iaitu bermula Julai, Ogos dan September.

"Kita juga sedang menunggu jadual ketibaan vaksin Sinovac selain menanti penghantaran AstraZenecca berikutan beberapa perubahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 2:53 PM