Zainal Ariffin Omar
Zainal Ariffin Omar
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kaedah pemberian vaksin perlu dipelbagaikan bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok termasuk mengutamakan pemberian di kawasan berisiko tinggi.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan atau Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) perlu merancang betul-betul pemberian vaksin berkenaan.

Katanya, ini bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat dapat menerima suntikan secepat mungkin.

"Paling penting sekarang memastikan bekalan vaksin mencukupi dan dapat diberi tepat pada waktunya.

"Selain mendaftar mendapatkan vaksin melalui laman web disediakan, pihak berkuasa sudah boleh memberi vaksin kepada lokasi yang berisiko tinggi dengan sistem 'opt-out'.

"Malah, pemberian vaksin ini perlu diatur melalui pelbagai kaedah termasuk menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pra-pendaftaran, 'walk-in', pusat bergerak serta pusat yang menyediakan vaksin secara 24 jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, negara juga seharusnya mensasarkan sekurang-kurangnya 250,000 orang yang dapat divaksin setiap hari.

Beliau berkata, sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi bagi mencapai 250,000 orang (divaksin sehari) adalah wajar untuk kerajaan memberi terlebih dahulu satu dos vaksin dan menjarakkan masa pemberian bagi dos yang kedua.

Ditanya sama ada Malaysia perlu mengguna pakai kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, Dr Zainal berkata ia tidak perlu.

"Kita tidak perlu memberi vaksin secara pandu lalu, namun kita boleh mencuba pendekatan menyediakan pusat bergerak (mobile) lebih banyak atau pergi terus kepada sasaran jangkauan," katanya.

Sebelum ini, ramai pihak meluahkan perasaan tidak puas hati dan berang kerana sukar mengakses sistem pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca untuk rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun.

Kebanyakan mereka mengadu gagal memperoleh akses sejak tempahan dibuka disebabkan faktor kesesakan trafik yang tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 3:40 PM