AKSI Zii Jia ketika menentang perseorangan India, Kiran George. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI Zii Jia ketika menentang perseorangan India, Kiran George. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui berdepan ujian sebenar apabila bakal berdepan dengan Anders Antonsen bagi saingan suku akhir Masters Malaysia esok.

Menurut pemain ranking ke-10 dunia itu, ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok tambahan pula Antonsen muncul juara Terbuka Malaysia tahun ini.

"Saya boleh katakan bukan mudah untuk mengatasi pemain seperti Antonsen, saya perlu tampil dengan prestasi terbaik," katanya selepas tamat aksi pusingan kedua berdepan Kiran George dari India, hari ini.

Ujar pemain kelahiran Kedah itu, dia percaya bahawa kunci kepada kemenangannya esok adalah mengenai kesabaran

Zii Jia yang muncul juara Terbuka Thailand, mengatasi George dengan kemenangan straight set 21-13, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Antonsen pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua mara selepas mengatasi rakan senegara, Magnus Johannesen 21-12, 21-10.

Menurut Zii Jia, dia gembira apabila berjaya melangkah ke suku akhir pertamanya di laman sendiri sejak mara sehingga ke separuh akhir Masters Malaysia pada 2020.

Pada saingan Masters Malaysia tahun lalu, Zii Jia tersingkir di pusingan kedua.

"Dalam empat tahun terakhir, ini adalah kali pertama saya mara ke suku akhir. Jadi, saya fikir ini adalah satu pencapaian yang positif untuk saya," katanya.

Sementara itu, mengiringi Zii Jia ke suku akhir ialah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas membenam cabaran rakan sepasukan, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-15, 21-19.

Mereka yang muncul naib juara tahun lalu akan berdepan pasangan China yang juga pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:35 PM