Noh Omar bertanyakan khabar kepada petugas dan penerima vaksin sempena lawatan ke PPV Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar bertanyakan khabar kepada petugas dan penerima vaksin sempena lawatan ke PPV Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Seramai 26,571 daripada kira-kira 48,000 individu di dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang sudah menerima suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 sehingga semalam, kata Ahli Parlimennya, Tan Sri Noh Omar.

Daripada jumlah itu, kata Noh, 502 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP).

Noh turut yakin sasaran 80 peratus penduduk dalam parlimen berkenaan menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos pertama vaksin menjelang Ogos ini akan tercapai.

"Usaha ini dibuat bagi mencapai imuniti berkelompok dalam masa terdekat.

"Sejak PPV IPP dibuka pada 28 Jun lalu, kadar pemberian vaksin meningkat daripada 1,000 penerima sehari kepada 1,600 penerima sehari," katanya kepada media selepas melawat PPV berkenaan hari ini.

Noh turut memaklumkan, tiada keperluan membuka sebuah lagi PPV di kawasan parlimen berkenaan memandangkan PPV sedia ada mampu menampung jumlah penerima vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, beliau menasihati penerima suntikan supaya mengikut peraturan dan arahan petugas PPV bagi melancarkan program vaksinasi.

"Hari ini, saya dapati keadaan agak sesak susulan PPV dibuka sedikit lewat berikutan sambutan Aidiladha.

"Diharapkan semua penerima bersabar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 4:41 PM