APANDI Yusof menghembuskan nafas terakhir jam 2.55 petang tadi. FOTO AGENSI
APANDI Yusof menghembuskan nafas terakhir jam 2.55 petang tadi. FOTO AGENSI
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Bekas pemain bola sepak Kelantan era 70-an, Apandi Yusof menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

Apandi, 73, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian sejak 18 April lalu akibat jangkitan kuman meninggal dunia jam 2.55 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Isterinya, Anita Yusof, 61, berkata, sejak 10 hari lalu, kesihatan suaminya semakin merosot dan kelmarin doktor menasihatkan mereka sekeluarga untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Dua minggu lalu suami sudah beri tindak balas positif dan agak melegakan hati kami kerana dia juga sudah sedar selepas hampir sebulan ditidurkan.

"Bagaimanapun kelmarin kesihatannya kembali merosot malah segala ubat yang diberikan juga seakan 'menolak' dan doktor juga minta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Sebentar tadi doktor menghubungi saya memaklumkan suami sudah meninggal dunia dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anita berkata, buat masa sekarang jenazah masih di Unit Forensik Hospital USM dan selesai semua urusan berkaitan, jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Uda, di sini untuk dikebumikan selepas Isyak malam ini.

Sebagai rekod, bekas penyerang Harimau Malaya yang bergiat hampir separuh abad dalam arena bola sepak itu pernah menyertai Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:01 PM