FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Kerajaan disaran mempercepatkan penghasilan vaksin Covid-19 sendiri bagi mencapai imuniti berkelompok dengan lebih pantas.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan Michael Tay Chee Boon berkata, apabila capaian imuniti berkelompok berjaya, rakyat akan dapat kembali menjalani kehidupan normal.

Katanya, ia sekaligus mengembalikan kadar pertumbuhan ekonomi yang terbantut akibat pandemik Covid-19.

"Selain tumpuan sekarang kepada membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, usaha perlu digandakan untuk menghasilkan vaksin sendiri.

"Sekiranya vaksin boleh dihasilkan sendiri oleh pakar dalam negara. Saya yakin ia mampu menampung keperluan rakyat dengan lebih cepat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini menyatakan, negara kini dalam proses membangunkan vaksin Covid-19 melalui kerjasama dengan Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Katanya vaksin berkenaan ialah jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) mula dibangunkan bermula November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2 (Covid-19).

Selepas vaksin selesai, kajian praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil akan dilaksanakan sebelum kajian klinikal terhadap manusia dilakukan.

Jelas Michael Tay, pembangunan vaksin juga memberi ruang dan penanda aras kepada Johor untuk membuka sempadan Malaysia - Singapura dengan lebih cepat.

"Apabila semua rakyat mendapat vaksin, mungkin menyumbang kepada penurunan kes dan ia menjadi penanda aras supaya sempadan negara di negeri ini boleh dibuka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 2:25 PM