SERORANG lelaki menerima suntikan vaksin di bawah program Vaksin Selangor di PPV Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves.
SERORANG lelaki menerima suntikan vaksin di bawah program Vaksin Selangor di PPV Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai pelan yang dinamik bersesuaian keadaan semasa untuk secara berfasa keluar daripada krisis Covid-19 yang dihadapi bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia.

Penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) secara besar-besaran dan pemberian vaksin yang bergerak proaktif di kawasan pedalaman dijangka membantu negara beralih ke fasa seterusnya di bawah PPN.

Sehingga kini, enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang sudah memenuhi tiga nilai ambang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada masa sama, negeri lain turut menunjukkan pencapaian positif dan dari segi keupayaan sistem kesihatan awam.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, dengan peningkatan kadar vaksinasi, beliau menjangkakan hasrat kerajaan mencapai peratusan yang tinggi menjelang akhir tahun ini akan tercapai.

"Dengan penambahan pusat pemberian vaksin bersifat mega dan pemberian vaksin bergerak di kawasan pedalaman, saya yakin program vaksinasi dapat disegerakan mengikut pelan diunjurkan kerajaan.

"Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan juga adalah langkah yang tepat dan terbaik buat masa ini.

"Walaupun banyak sektor ditutup dan pergerakan dibataskan namun mereka yang melakukan perjalanan ke PPV adalah dibenarkan.

"Ini juga dapat memberikan ruang dan kelegaan kepada petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan kita," katanya.

Menurutnya, pakej bantuan diberikan sedikit meringankan beban rakyat.

"Pada zaman yang susah ini, ramai antara kita mengalami masalah terkait akibat pandemik berpanjangan.

"Ini termasuk masalah kemurungan dan kesihatan mental yang terjejas akibat daripada kesempitan hidup.

"Rakyat perlu memainkan peranan untuk tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin supaya kita sama-sama dapat keluar daripada pandemik dan kesan pandemik ini dengan segera," katanya.

Beliau berkata, pembabitan semua pihak perlu bagi mempercepatkan aktiviti pemberian vaksin supaya ramai dapat dilindungi dalam masa yang cepat.

Setakat ini, dari segi vaksinasi, hampir semua negeri sudah melebihi 10 peratus penduduk dengan satu dos, oleh itu dijangka nilai ambang melebihi 10 peratus penduduk dengan dua dos akan dicapai dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, usaha ini perlu dipercepatkan bagi meningkatkan jumlah mereka yang sudah mendapatkan dua dos vaksin.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pendekatan yang betul adalah memberi liputan vaksinasi kepada sebanyak mungkin pada kadar segera.

"Peratusan yang divaksinasi iaitu antara 50 ke 80 peratus kepada 90 ke 100 peratus daripada yang layak (kanak-kanak bawah 12 tahun tidak termasuk) perlu dicapai.

"Peratusan ini juga termasuk untuk mereka yang bukan warganegara.

"Imuniti berkelompok 80 peratus sekarang tidak tepat kerana Covid-19 akan mempunyai varian baru dan bermutasi.

"Justeru, usaha kerajaan dalam memastikan peralihan fasa kedua dalam PPN perlu disegerakan dan dilaksanakan secepat mungkin supaya lebih ramai yang divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:02 AM