GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bantuan bekalan air bersih kepada 29,151 akaun pengguna yang terjejas susulan gangguan bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan disalurkan secara berperingkat mulai esok.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan air bersih untuk keperluan makan serta minum tidak akan tergendala dan dihantar terus kepada pengguna yang terjejas mengikut kesesuaian.

"Bermula esok, (ia) dihantar mengikut kesesuaian, ada sesetengah rumah mungkin dua hari sekali atau tiga hari sekali, yang penting (pengguna) tidak putus bekalan dan penduduk boleh maklum kepada JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) masing-masing sekiranya mempunyai masalah.

"Bagi bekalan air untuk kegunaan lain seperti basuh, mandi dan sebagainya, itu akan sentiasa ada (dan) para petugas kita yang bertugas siang malam ini akan sentiasa menghantar (bekalan air) ke lokasi seperti sebelum ini.

"Kita sudah berbincang dengan Satu (Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd) untuk beberapa pelan tindakan dan ia lebih tersusun berbanding sebelum ini, dan kita akan cuba menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.

Ketika ditanya berkaitan kaedah selaman yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti yang ditularkan netizen di media sosial berbanding peralatan lebih moden, Ahmad Samsuri berkata, kaedah itu memang digunakan setakat ini dengan mengambil kira kesegeraan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Setakat ini, memang kaedah itu (selaman) yang diguna pakai kerana ada kesegeraan, kalau nak bawa mesin dalam keadaan begini, ia akan makan masa sedangkan paip itu sudah pecah dan sebagainya.

"Jadi apa juga cara yang ada pada ketika ini kita guna dahulu dan saya sangat berterima kasih kepada penyelam yang terbabit kerana tidak mudah dalam keadaan air yang tidak jernih, berkelodak (untuk buat selaman) dan saya percaya mereka akan cuba dapatkan jika ada kaedah lain," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera RM2.79 juta bagi menangani masalah bekalan air terputus membabitkan 150,000 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Daripada jumlah itu, RM1.04 juta akan disalurkan kepada 104 JPKK untuk membantu penyaluran bekalan air kepada 29,151 akaun pengguna.

Isnin lalu, Satu memaklumkan, pasukan teknikal mengesan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) pecah di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sehari sebelumnya.

Paip di dasar sungai itu membekalkan air ke tangki utama Berangan dari loji Kepong untuk kegunaan penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:27 PM