BERNAMA

Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran sedang dijalankan selepas sebuah helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, terpaksa melakukan 'pendaratan kecemasan' di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), insiden itu berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara Bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Penduduk tempatan dilaporkan mendengar 'bunyi' di wilayah itu tidak lama selepas itu, menurut koresponden IRNA.

"Lebih daripada 20 pasukan mencari dan menyelamat yang lengkap, termasuk dron dan anjing pengesan, telah dihantar ke kawasan kejadian.

"Angkatan Tentera Iran juga telah mengerahkan unit komando dan Pasukan Khas untuk membantu dalam operasi pencarian," lapor agensi itu di X (dahulunya Twitter).

Operasi mencari dan menyelamat dijangka mencabar dan mungkin mengambil masa disebabkan oleh keadaan lereng dan muka buminya yang berceranggah dan keadaan cuaca yang buruk, terutamanya kabus tebal di kawasan itu, katanya.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Iran, Babak Yektaparast, memberitahu IRNA bahawa lapan ambulans dengan pasukan perubatan kecemasan terdiri daripada juruteknik dan doktor telah dihantar ke kawasan itu.

Beliau berkata sebuah helikopter kecemasan yang dihantar untuk membantu terpaksa berpatah balik kerana kabus tebal yang menghalangnya daripada mendarat di kawasan berkenaan.

Terdahulu, IRNA melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi, memberitahu televisyen negara Iran bahawa disebabkan oleh keadaan cuaca yang sukar, pasukan mencari dan menyelamat mungkin memerlukan masa untuk sampai ke lokasi nahas.

Beliau menzahirkan harapan agar pasukan itu akan segera sampai ke lokasi dan dapat memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:44 AM