PEMAIN Penang FC, Rodrigo Da Silva (kiri) diasak pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN Penang FC, Rodrigo Da Silva (kiri) diasak pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penang FC sekali lagi terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Perlawanan bermula 8.15 malam itu agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak dan melancarkan serangan bertali arus untuk meletakkan pasukan mereka di hadapan.

TFC mencetak gol pertama pada minit ke-38 menerusi Manuel Ott, namun percubaan pemain tengah berasal dari Filipina itu tidak dikira kerana ofsaid.

Gol hasil sepakan percuma kapten pasukan, Safawi Rasid itu dikira ofsaid apabila pembantu pengadil mengangkat bendera dan keputusan itu langsung tidak disemak Video Pembantu Pengadil (VAR).

Pada minit ke-68, jaringan Penang FC pula dibatalkan oleh pengadil, S Logeswaran selepas penyerang pasukan itu, Mohammad Nabil Ahmad Latpi menanduk keluar bola yang sudah ditangkap penjaga gol TFC, Syed Muhammad di pintu gawang.

Perlawanan itu turut menyaksikan kemunculan sulung pemain sayap lincah Harimau Malaya yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) ke TFC, Akhyar Rashid yang menjadi mangsa pukul dan samun di Kuala Terengganu pada 2 Mei lalu.

Dia turut melakukan beberapa gerakan dari bahagian sayap kiri dan kanan, namun berjaya dipatahkan benteng Penang FC.

Pada perlawanan pembukaan Liga Super minggu lalu, Penang FC seri tanpa jaringan dengan Sabah FC manakala TFC menang 3-1 ke atas Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 10:48 PM