Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Krisis bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna sejak 12 hari lalu di sekitar daerah ini dijangka pulih sepenuhnya esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masalah gangguan yang melanda di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua daerah itu selesai dua hari lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini.

Beliau berkata, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sebelum ini menjangkakan bekalan air dijangka pulih bermula Sabtu dan pulih sepenuhnya pada Isnin depan (16 Ogos).

"Hasil kerja keras daripada semua pihak dalam menangani masalah air ini, Alhamdullilah, hari ini kerja-kerja pembaikan paip pecah tangki utama Berangan di dasar Sungai Terengganu dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal.

"Jadi bermula pagi tadi, tangki mula diisi dengan air dan bekalan mula dilepaskan secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari tadi dan dijangka pulih sepenuhnya esok," katanya ketika ditemui pada sidang media berkaitan Krisis Air Berangan di Tangki Air Bukit Berangan di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa sidang media berhubung isu krisis bekalan air di Kampung Bukit Berangan. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa sidang media berhubung isu krisis bekalan air di Kampung Bukit Berangan. FOTO GHAZALI KORI

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi SATU berkata, beberapa langkah susulan akan diperkemas dan ditambah baik seperti memastikan proses pembinaan Loji Bukit Berapit yang dijangka siap pada Mei tahun depan siap dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Katanya, pihak SATU juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi membuat penanda bertujuan memudahkan masyarakat dan penggiat ekonomi sedar akan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

"Selain paip ke Tangki Air Berangan di Sungai Terengganu, terdapat 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai atau laut di seluruh Terengganu dan pihak SATU akan memperkemaskan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala bagi kesemua paip yang ada.

"Kita juga akan merangka tindakan susulan supaya risiko-risiko kebocoran ini dapat ditangani dengan lebih segera.

"Kemahiran yang ditunjukkan pihak kontraktor bersama pihak SATU dalam membaiki kebocoran ini adalah satu pencapaian yang dibanggakan kerana bukan mudah mahu membaiki kerosakan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Bagi pihak kerajaan negeri Terengganu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan bekalan air seperti Syarikat Air Johor, Air Selangor, Pengurusan Air Pahang, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka, Air Kelantan, Syarikat Air Darul Aman dan Syarikat Air Negeri Sembilan.

"Terima kasih juga kepada orang awam dan sukarelawan yang turut sama membantu menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas," katanya.

#kw air, putus, pulih, SATU, menteri besar, Terengganu, paip, sungai, Kuala Nerus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:26 PM