TTENGKU Muhammad Ismail (kiri) menyampaikan saguhati kepada bakal jemaah haji, hari ini. FOTO Baharom Bakar
TTENGKU Muhammad Ismail (kiri) menyampaikan saguhati kepada bakal jemaah haji, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua bakal jemaah haji bersyukur atas menikmati keamanan negara bagi membolehkan mengerjakan rukun Islam kelima dengan selamat dan selesa tahun ini.

Titah baginda, bakal jemaah haji juga disaran tidak melupai untuk memanjatkan kesyukuran dan berdoa agar negara ini dijauhi daripada bencana tidak diingini sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

"Umat Islam di negeri ini harus bersyukur kerana Tabung Haji (TH) sentiasa mengambil berat akan kebajikan jemaah haji dengan melaksanakan penganjuran pelbagai kursus serta penyediaan perkhidmatan yang cukup baik bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci," titah baginda pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Ke Tanah Suci, di Stesen Haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.

Titah ucapan Sultan Mizan disampaikan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal dan Pengarah Tabung Haji (TH) negeri, Nizan Johar Abdul Wahab.

Sultan Mizan turut menasihatkan kepada semua bakal jemaah haji agar memberi keutamaan dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan rukun Islam kelima di tanah suci.

Titah baginda, jemputan menunaikan haji adalah jemputan teristimewa daripada Allah S.W.T kepada hambanya yang terpilih.

"Beta pasti panggilan haji adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam.

"Beta berharap semua bakal jemaah haji dapat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji yang dipelajari ketika mengikuti kursus anjuran TH," titah baginda.

Sultan Mizan menzahirkan ucapan syabas kepada TH dan agensi kerajaan serta swasta yang terbabit dalam operasi haji tahun ini.

"Beta berbangga dengan persediaan dilakukan dan komitmen tinggi ditunjukkan dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:03 AM