JUSTIN meraih kejuaraan sulung pada tahun ini selepas berehat panjang akibat kecederaan. FOTO BAM
JUSTIN meraih kejuaraan sulung pada tahun ini selepas berehat panjang akibat kecederaan. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh kembali merangkul kejuaraan selepas muncul juara Terbuka Slovenia, sebentar tadi.

Selepas bergelut dengan kecederaan dan berehat panjang, pemain yang beraksi di Piala Thomas 2024 di Chengdu, baru-baru ini, berjaya menumpaskan wakil Indonesia, Prahdiska Shujiwo di final 19-21, 21-11, 21-15.

Pemain berusia 20 tahun itu hanya beraksi di kejohanan ketiganya tahun ini selepas Piala Thomas dan Cabaran Antarabangsa Thailand.

Ini adalah kejuaraan pertamanya selepas setahun lebih mendakap kejuaraan Cabaran Antarabangsa Uganda dengan menewaskan Justin Ma dari Amerika Syarikat (AS), 21-13, 21-15.

Sebulan selepas itu pemain berusia 20 tahun itu terpaksa berehat panjang akibat kecederaan achilles tendon dan hanya kembali ke gelanggang pada Disember tahun lalu.

Sebelum Justin merangkul trofi di bumi Eropah, perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menceriakan peminat badminton dengan muncul juara Terbuka Thailand.

Zii Jia menumpaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long di Bangkok, 21-11, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:57 PM