Abdul Karim semasa memantau di Loji Rawatan Air (LRA) Pulau Musang pada bulan Mei lalu. GHAZALI KORI
Abdul Karim semasa memantau di Loji Rawatan Air (LRA) Pulau Musang pada bulan Mei lalu. GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Masalah bekalan air bersih dihadapi kira-kira 130,000 pengguna di Marang sejak tiga tahun lalu dijangka selesai pertengahan Disember ini.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) membelanjakan sebanyak RM54 juta melaksanakan projek pemasangan paip bersaiz 900mm daripada Loji Rawatan Air (LRA) Kepong Dua ke tangki MIEL di Kampung Gondang, Marang.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, kerja pemasangan paip sejauh kira-kira 24 kilometer dilakukan di bawah Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara sudah mencapai tahap 97.73 peratus.

"Kita jangka pengguna di seluruh daerah Marang akan mendapat bekalan air bersih pada akhir Disember ini.

"Kita sudah melakukan dua kali ujian tekanan air dan kebocoran paip baharu yang dipasang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas rungutan sebahagian penduduk mengenai gangguan bekalan air bersih yang terpaksa dihadapi sejak 2021.

Sepanjang tempoh tiga tahun gangguan, SATU terpaksa menyediakan tangki dan membuat penghantaran air mengguna lori tangki.

Selain itu, saiz paip yang kecil dan kerap berlaku kebocoran bawah tanah punca utama berlakunya gangguan bekalan air bersih ke kediaman penduduk.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui Facebooknya memaklumkan masalah gangguan bekalan air bersih dihadapi penduduk di daerah Marang dapat dikurangkan apabila kerja-kerja pemasangan paip hampir selesai dilakukan SATU.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, apabila kerja pemasangan dan penyambungan paip selesai dilakukan, sebanyak 65 juta liter air bersih dapat disalurkan sehari, berbanding hanya 30 juta liter sehari.

Katanya, SATU sedang melaksanakan beberapa proses lain termasuk kerja disinfeksi, melakukan ujian sampel kualiti air, penurapan jalan dan pemeriksaan akhir serta penyerahan sistem agihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 3:50 PM