PENDUDUK Kampung Lingai, Kuala Nerus mandi di kawasan tadahan air bukit selepas kediaman mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu. FOTO Ghazali Kori.
PENDUDUK Kampung Lingai, Kuala Nerus mandi di kawasan tadahan air bukit selepas kediaman mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu. FOTO Ghazali Kori.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengecualian bayaran selama dua bulan akan diberikan kepada penduduk daerah ini dan Kuala Nerus yang mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, pengecualian itu yang berkuat kuasa selepas kerja baik pulih paip yang pecah di Sungai Terengganu selesai.

"Sebagai menghargai kesabaran dan simpati terhadap penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua pemegang akaun selama dua bulan selepas kerja baik pulih selesai dilakukan.

"Kerajaan negeri juga sedang menguruskan bekalan air minuman bersih kepada semua penduduk sehingga tempoh krisis selesai," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ditanggung penduduk termasuk membekalkan mereka dengan air bersih.

Katanya, ketika ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki paip berkenaan dan berharap kerja baik pulih selesai segera.

Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna SATU di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 5:02 PM