GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sekali lagi terpaksa berhadapan masalah gangguan bekalan air, susulan berlaku tekanan air rendah sejak awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengesan masalah itu pada jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada pada paras tidak normal.

"Situasi itu menunjukkan pengoperasian tidak stabil telah berlaku membabitkan paip di dasar Sungai Terengganu.

"Pasukan Teknikal SATU termasuk enam juruselam sedang giat menjalankan kerja pengesanan di dasar sungai untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip terbabit. Sebarang penemuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai bilangan pengguna dan lokasi yang terjejas akibat gangguan kali ini belum diperoleh.

Sehubungan itu, SATU akan mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki hari ini, mengikut jadual sama ketika gangguan bekalan air sebelum ini.

"Selain itu, tangki-tangki statik akan mula ditempatkan di kawasan terlibat. Pengurusan SATU memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi pengguna," katanya.

Masalah bekalan air di negeri ini berlaku pertama kali pada 2 Ogos lalu berpunca daripada pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Krisis air itu membabitkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu. Bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat pada 13 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:35 PM