DR Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Dr Mamad (dua kiri)  selepas sidang media berhubung isu krisis bekalan air di Kampung Air Bukit Berangan. FOTO Ghazali Kori
DR Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Dr Mamad (dua kiri) selepas sidang media berhubung isu krisis bekalan air di Kampung Air Bukit Berangan. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat punca kebocoran paip utama di dasar Sungai Terengganu yang menyebabkan krisis air membabitkan 28,700 akaun pengguna di daerah ini dan Kuala Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jawatankuasa siasatan itu diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan dianggotai pelbagai agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.

"Jawatankuasa siasatan ini ditubuhkan kelmarin (Rabu) untuk menjalankan siasatan dan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya kejadian sama tidak berulang.

"Mereka (jawatankuasa siasatan) ini ada masa 30 hari dan kita beri kebebasan kepada mereka untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Kita tunggu laporan yang akan dikemukakan kelak dan Insya-Allah, kerajaan negeri akan responsif terhadap apa juga hasil siasatan dan cadangan yang akan dikemukakan nanti ," katanya ketika ditemui pada sidang media berkaitan Krisis Air Berangan di Tangki Air Bukit Berangan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh.

Ketika ditanya mengenai aktiviti mengorek pasir yang dijalankan di kawasan berhampiran kawasan kebocoran itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) berkata, aktiviti berkenaan dihentikan sehingga siasatan selesai.

"Kita akan nilai kembali perkara ini selepas kita mendapat laporan penuh daripada jawatankuasa siasatan," katanya.

Krisis bekalan air yang bermula pada 2 Ogos lalu menyebabkan 28,700 pengguna akaun di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terjejas apabila paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 8:41 PM