FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Cegah segera sebelum parah. Itu gesaan Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) mengenai trend 'petani import' yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, pihaknya juga dimaklumkan mengenai perkara itu hasil pertemuan dengan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar mengenai kebimbangan mereka kerana wujud potensi sawah padi 'ditawan warga asing'.

Menurutnya, pendedahan bahagian Kawal selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) itu perlu dipandang serius kerana ia akan membuka ruang untuk masalah lain.

Antaranya, beliau berkata, wujud kemungkinan sawah padi yang asalnya disewa kepada warga asing ini dijual terus selain mengehadkan peluang anak tempatan untuk menceburi bidang pertanian.

"Awalnya memanglah mereka menyewa dan hanya mengambil upah mengusahakan sawah.

"Tetapi lama-kelamaan, mereka akan minta beli untuk memudahkan kerja dengan alasan lebih baik dijual daripada terbiar. Di situ, kita secara perlahan-lahan akan kehilangan hak," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, trend sama juga digunakan di dalam industri lain di negara ini yang membolehkan warga asing seperti Bangladesh dan Rohingya ini mendapat tempat dengan mudah.

Katanya, keperluan tenaga buruh asing untuk pertanian memang ada, namun pemilikan sawah secara total dibimbangi akan menimbulkan isu lain yang tidak terkawal.

"Kita tahu antara masalahnya adalah pemilik sawah sudah berumur, ada yang uzur manakala anak-anak lebih selesa bekerja di bidang lain.

"Justeru Amal Sejagat mencadangkan agar satu gabungan dibentuk bagi mengatasi masalah ini.

"Jangan sampai pelbagai insentif disediakan kerajaan dimanfaatkan warga asing," katanya.

Berita berkaitan

Warga asing jadi tauke padi, beras

Bimbang penguasaan warga asing tiada sekatan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:36 PM