Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sudah melaporkan isu warga asing menguasai sawah padi kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan diambil.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu terbabit dan kesannya kepada sektor pertanian.

Katanya, Mafi juga mengenal pasti bukan saja industri padi, malah lebih parah warga asing juga terbabit dalam penanaman sayur.

"Kita akan memastikan kawasan yang ditanam sawah padi ini tidak akan diusik dengan sebarang pembangunan lain.

"Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Mafi, kawasan yang kita tanam pada ketika ini akan terus diperuntukkan kepada usaha tanaman padi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sebelum itu, ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Sharif mencelah dan meminta jawapan kementerian mengenai pendedahan ekslusif Harian Metro mengenai koloni pesawah Bangla semalam.

Beliau bertanya mengenai apakah tindakan diambil Mafi bagi mengatasi perkara itu yang tidak boleh dipandang remeh sama sekali.

Ahmad berkata, dalam masa sama skim Smart Sawah Berskala Besar (SBB) yang diperkenalkan akan mampu menyelesaikan isu kekurangan petani muda untuk mengerjakan sawah padi.

"Kita membuat ketetapan untuk skim SBB, 100 peratus pekerja tempatan, tidak ada warga asing dan akan disertai pihak swasta bersama pemilik sawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:02 PM