Zaid Salim

Kuala Terengganu: Pandemik Covid-19 dan pergolakan politik dalam negara tidak menghalang penghuni di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Hiliran, di sini, menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan memasang lebih 2,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz di sekitar kawasan perumahan itu.

Berbekalkan peruntukan lebih RM1,000, penghuni pelbagai golongan usia termasuk kanak-kanak sepakat memasang lambang kemegahan negara itu secara bergotong-royong sejak seminggu lalu.

Ketua Blok, Aripin Mohd, 68, berkata gotong-royong memasang Jalur Gemilang itu dilakukan pada waktu malam bermula selepas Isyak sehingga 2 pagi memandangkan kebanyakan penghuni bekerja pada waktu siang.

Katanya, bagi memastikan setiap kawasan dihiasi dengan bendera, penghuni secara sukarela menghulurkan sumbangan bagi menyediakan Jalur Gemilang itu.

PENDUDUK memasang Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang akan disambut 31 Ogos ini ketika tinjauan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK memasang Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang akan disambut 31 Ogos ini ketika tinjauan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran. FOTO Ghazali Kori

"Kami sepakat mengumpul duit dan masing-masing menyumbang mengikut kemampuan.

"Pemasangan bendera ini tanda penghargaan kami terhadap semangat perjuangan pejuang dahulu yang sanggup berkorban jiwa dan raga bagi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan komunis.

"Ini tanda semangat patriotik dan prihatin kami terhadap kemerdekaan negara," katanya ketika ditemui, hari ini.

Aripin berkata, biarpun negara masih dilanda pandemik Covid-19, demi semangat kecintaan tinggi terhadap negara, sambutan kemerdekaan tetap diraikan walaupun dalam keadaan sederhana dan normal baharu.

Menurutnya, tahun ini adalah sambutan kali kelima dilakukan di perumahan itu dan dalam keadaan penuh berhati-hati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, mereka turut menyediakan bendera sepanjang 55 meter yang dipasang pada dinding blok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:07 PM