Penduduk Block G, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda bergotong royong memasang Jalur Gemilang sebagai persiapan untuk menyambut Hari Kebangsaan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Penduduk Block G, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda bergotong royong memasang Jalur Gemilang sebagai persiapan untuk menyambut Hari Kebangsaan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Walaupun berada dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih tidak berpenghujung, ia tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk menunjukkan rasa cinta terhadap negara.

Sehubungan itu, bagi penduduk Blok G, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini, mereka amat teruja untuk menyambut Hari Kebangsaan Selasa ini.

Malah, kesepakatan komuniti penduduk di perumahan berkenaan membawa kepada pelbagai hiasan dan kibaran Jalur Gemilang.

Timbalan Ketua Blok G PPR Batu Muda, Syed Mohd Hamzi Syed Ludin, 51, berkata, penduduk cukup bersemangat menantikan hari bersejarah itu.

"Sebelum ini, kami dapat menjalankan pelbagai aktiviti bersama-sama seperti gotong-royong.

"Namun, untuk Hari Kebangsaan yang ke-64 ini, akibat kekangan pandemik, kami cuba meraikannya dengan menghiasi kawasan sekitar blok dengan Jalur Gemilang.

"Komuniti Blok G ini memberikan kerjasama yang amat baik dalam membantu daripada segi berkongsi dana selain tenaga," katanya ditemui hari ini.

Pada masa sama, Pengerusi Blok G, Umar Baki Sani, 78, yang juga antara penduduk yang paling lama tinggal di blok berkenaan sejak 2008 berkata, sambutan Hari Kebangsaan kali ini lebih meriah hasil sokongan padu komuniti perumahan berkenaan.

"Jika kita bandingkan tahun ini dengan tahun-tahun lalu, sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih meriah dengan sokongan padu yang diberikan penduduk.

"Kami ada membuat kutipan dana daripada penduduk Blok G dan memperoleh lebih RM1,000 untuk dimanfaatkan sebaiknya dalam menyambut Hari Kebangsaan," katanya.

Menurut Umar Baki, selain hiasan bendera di pintu masuk blok, penduduk turut mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:41 PM