BERNAMA

Putrajaya: Saban tahun bila tibanya Ogos, penghuni Blok A1 Fasa 7, Presint 9 di sini, akan bergotong-royong mengindahkan kawasan perumahan mereka dengan kibaran Jalur Gemilang.

Tahun ini meskipun dalam suasana pergerakan yang terhad berikutan pandemik Covid-19, penghuni kuarters penjawat awam itu masih bersemangat untuk meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dengan memastikan blok perumahan mereka, tetap meriah dihiasi bendera Malaysia.

Pengerusi Blok A1 yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Blok A1 Fasa 7 Noraida Din, 50, berkata, lebih 400 Jalur Gemilang baharu pelbagai saiz dipasang di kawasan blok perumahan itu dan pekarangannya selain dihiasi lampu hiasan berwarna-warni dengan kos kira-kira RM400.

"Bendera ini ada yang kita beli dan ada juga kita 'recycle' dari tahun-tahun lalu. Kami juga mendapat sumbangan 100 bendera Malaysia dari pihak Perbadanan Putrajaya (PPj)," katanya kepada Bernama.

Sebanyak 200 Jalur Gemilang dipacak di sekitar kuarters perumahan berkenaan, manakala selebihnya dipasang untuk menghiasi unit-unit rumah serta kerusi taman Laman Santai di kawasan perumahan tersebut.

Noraida berkata, dia beliau bersama sembilan ahli jawatankuasa blok mengambil masa dua hari untuk mencantikkan persekitaran blok berkenaan dengan hiasan Jalur Gemilang bagi memastikan semangat kemerdekaan itu dapat dirasai penduduk pelbagai lapisan umur.

"Kita buat hiasan seperti ini untuk menimbulkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk terutama anak-anak muda supaya mereka tahu dan sedar kewujudan Hari Kebangsaan.

"Di Laman Santai pula, kita turut meletakkan poster Rukun Negara agar penduduk bukan sahaja dapat bersantai dan bergambar malah memperoleh pengetahuan," katanya.

Noraida Din berehat di Laman Santai Merdeka ketika menemui beliau baru-baru ini.
Noraida Din berehat di Laman Santai Merdeka ketika menemui beliau baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden PPj Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pihak PPj selesai memasang sebanyak 4,620 Jalur Gemilang di beberapa lokasi sekitar selain turut mengedarkan 4,000 lagi bendera Malaysia itu kepada komuniti setempat melalui Majlis Perwakilan Penduduk atau ketua blok.

Menurutnya, sebanyak 2,230 bendera sudah dipasang pada lampu jalan, jambatan dan kompleks milik PPj, 2,390 bendera pula di taman-taman awam.

"Saya berharap agar kemeriahan kibaran Jalur Gemilang pada tahun ini dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama, kita perlu bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 1:00 PM