Penduduk Taman Puncak Saujana Kajang sepakat menghias kediamaan dengan memasang Jalur Gemilang sempena Sambutan Kemerdekaan ke 64. FOTO SAMADI AHMAD
Penduduk Taman Puncak Saujana Kajang sepakat menghias kediamaan dengan memasang Jalur Gemilang sempena Sambutan Kemerdekaan ke 64. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kehangatan sambutan Hari Kemerdekaan kian dirasai apabila komuniti penduduk di Taman Puncak Saujana, Kajang, di sini, bergotong royong memasang Jalur Gemilang pelbagai saiz di setiap kediaman mereka.

Usaha disertai pelbagai bangsa dan peringkat usia itu dilakukan mereka sejak seminggu lalu.

Pesara polis, Md Khair Abdullah, 63, berkata, aktiviti memasang Jalur Gemilang itu menjadi rutin setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan bagi meraikan hari bersejarah negara disambut pada 31 Ogos.

Menurut beliau, aktiviti itu dipraktikkannya sejak 34 tahun lalu ketika menyertai pasukan polis sehingga hari ini bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk taman.

"Walaupun Sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini disambut dengan norma baharu ketika menangani pandemik covid-19, namun penduduk sepakat memasang Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke 64 tahun ini, "katanya.

Sementara itu kakitangan kerajaan, Mohd Zamri Abdullah, 45, berkata pemasangan bendera itu adalah tanda penghargaan rakyat terhadap semangat perjuangan negara yang sanggup berkorban jiwa dan raga bagi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah serta komunis.

"Apa salahnya kita berbelanja sedikit untuk membeli Jalur Gemilang demi menghargai jasa pejuang yang banyak berjasa dan untuk negara tercinta.

"Biarpun negara masih dilanda pandemik Covid-19, namun semangat cintakan negara tidak harus dilupakan," katanya.

Menurutnya, aktiviti memasang bendera dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dalam keadaan penuh berhati-hati berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih dilaksanakan.

"Kami turut menyediakan bendera besar yang dipasang di atas pokok dan bahagian balkoni kediaman supaya ia nampak ceria menghiasi kawasan taman perumahan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 3:50 PM