AMIR (kiri) bersama guru dan kakitangan sekolah memasang Jalur Gemilang, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
AMIR (kiri) bersama guru dan kakitangan sekolah memasang Jalur Gemilang, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun murid mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sebahagian guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Ladang (SeLadang) tetap memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah.

Pemasangan Jalur Gemilang itu bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64 dan menyuntik semangat masyarakat sekeliling supaya turut mengambil langkah sama, lebih-lebih lagi sekolah itu terletak di tengah bandar Kuala Terengganu.

Guru Besar SeLadang, Amir Hamzah berkata, bertemakan 'Merdeka Jiwa Dengan Memberi', usaha berkenaan tetap diteruskan kerana ia sudah menjadi budaya warga sekolah sebagai pusat pendidikan, walaupun tanpa kehadiran murid.

"Kami akui sambutan kali ini cukup berbeza tanpa kehadiran murid dan guru kerana negara masih berdepan dengan wabak pandemik Covid-19, tetapi kami tetap bersemangat memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan negara.

"Malah, sebahagian besar murid yang menetap berhampiran sekolah dapat melihat Jalur Gemilang berkibar megah, sekali gus mampu menyuntik semangat mereka untuk merasai suasana sambutan Bulan Kemerdekaan walaupun negara masih berdepan wabak Covid-19.

"Kami bergotong-royong memasang lebih 100 Jalur Gemilang sejak Isnin lalu, manakala murid melakukan pelbagai aktiviti menarik di kediaman masing-masing seperti pertandingan mewarna Jalur Gemilang, seni reka kolaj dan sajak kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata, murid prasekolah turut sama menyertai aktiviti pakaian beragam bertemakan kemerdekaan, sekali gus dapat memberikan mesej kepada semua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:42 PM